*Ha..tu lah...aku baru jer peringat...tengok kat sini
Kiter kena berhati-hati...bila dah jadi camni memang menyusahkan diri.
_________________________________________________________
2011/01/29NEW DELHI:
Seorang wanita Malaysia tidak menduga hubungan yang terjalin antaranya dengan seorang duda melalui sembang internet mulai November tahun lalu, kini menimbulkan masalah besar hingga memerlukannya mendapatkan bantuan Polis India dan Interpol untuk menyekat pemburu siber berpejabat di Bangalore itu daripada mengganggu kehidupannya.
Masalah timbul apabila wanita berusia dalam lingkungan 40 tahun dan bekerja dengan sebuah syarikat korporat di Kuala Lumpur itu membuat keputusan memutuskan hubungan mereka setelah mendapati lelaki berkenaan cuba mengawal kehidupannya. Akibat marah dengan keputusan wanita itu, suspek, yang dipercayai bertugas sebagai perunding bebas teknologi maklumat dengan sebuah bank komersial terkemuka India, mula mengugutnya melalui email dan telefon.
"Saya dapat mengesan wujud kecenderungan luar biasa dalam pemikiran dan tindakannya, yang bersifat mengongkong dan terus membuat keputsuan untuk memutuskan hubungan dengannya. Ini menimbulkan kemarahannya.
"Kemudian dia mula mengirim emel yang penuh dengan maki-hamun dan mengugut saya melalui telefon. Lebih dahsyat lagi, dia telah menggodam ruang sembang internet, Facebook, email pejabat dan email peribadi saya untuk memburu saya dan mencuri alamat email rakan sekerja, kawan dan saudara-mara saya," kata mangsa dalam suratnya kepada pejabat Konsul Besar Malaysia di Chennai semalam.
Oleh kerana bimbang tentang keselamatan dirinya, wanita itu memohon bantuan pejabat konsul besar Malaysia untuk menyekat perbuatan lelaki yang mengugutnya itu. Salinan surat itu dikirim kepada Bernama.
"Saya jadi tertekan apabila dia mengancam akan mengirim email untuk merosakkan nama baik saya kepada lebih 100 alamat email yang didakwa didapatinya. "Nampaknya, setiap pihak yang saya mohon pertolongan, tidak memberi sebarang bantuan, walaupun saya mengemukakan bukti yang saya telah diugut," kata wanita itu dalam suratnya.
Mangsa juga berkata dia telah membuat laporan polis dan merujuk kesnya itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi tidak mendapat sebarang jawapan positif.
Malah, wanita itu berkata dia telah meminta bantuan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur supaya menghalang lelaki itu daripada terus mengugutnya.
Seorang pegawai kanan polis bahagian jenayah siber India yang dihubungi Bernama berkata oleh kerana kes itu melibatkan warga asing, maka mangsa perlu memfailkan kesnya melalui pihak berkuasa Malaysia.
"Tidak banyak yang boleh kami lakukan sekarang. Dia perlu failkan laporan dengan polis Malaysia, yang kemudiannya akan menghubungi Interpol dan setelah mendapat arahan CBI (Biro Siasatan Pusat India), barulah kami boleh bertindak.
"Ini boleh mengambil masa berminggu-minggu atau beberapa bulan. Kami menerima banyak aduan seperti ini," kata pegawai berkenaan. - BERNAMA
SUMBER: BERITA HARIAN
0 comments:
Post a Comment